Berita dan Foto : Ihsan Masjid Kampung Sungai Besar
SUNGAI BESAR, Jumaat, 26 Disember. – Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Sungai Besar mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai menzahirkan rasa kesyukuran setelah menepati sasaran 'Sebulan Sekali Khatam' sepanjang tahun 2025.
Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Awang Haji Zaini bin Haji Damit selaku Penasihat I AJKT Masjid Kampung Sungai Besar merakamkan setinggi - tinggi penghargaan dan rasa syukur atas kejayaan penganjuran Majlis Khatam Al-Quran yang dilaksanakan secara istiqamah pada setiap bulan.
Menurutnya, majlis berkenaan mencerminkan komitmen tinggi AJKT dan Ahli Tadarus Subuh yang telah berperanan dalam menyemarakkan budaya membaca dan menghayati Al-Quran di masjid berkenaan.
"Alhamdulillah, saya yakin dengan kerjasama erat AJKT, jemaah serta para penduduk kampung, usaha ini akan terus menjadi pemangkin kepada aktiviti keagamaan pada masa akan datang," ujarnya.
Turut hadir dan seterusnya menyertai majlis berkenaan ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram; dan Penasihat II AJKT Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis Khatam kali Ke-12 bagi tahun 2025 itu bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara berjemaah, dan disusuli dengan bacaan surah-surah lazim bermula Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Tamin.
Bacaan Takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Rafiq bin Haji Matussin, yang seterusnya membaca Doa Tahlil serta membimbing bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.